Kasut kulit Thom McAn coklat kehitaman itu menapak satu, satu. Makin lama, makin laju irama langkah kaki. Beg bimbit itu terhayun mengikut kelajuan tangan, sambil sebelah lagi tangan dihulurkan ke hadapan, meminta laluan. Sesekali tangan itu ditekapkan di kepala, menekan fedora hitam. Sambil melangkah sekarang, laju, dia mengangkat tangan dia, mencari muka jam, tetapi gagal.
Alamak.. sudah. Kaki tadi yang semangat melangkah, terhenti serta merta. Dia terpacak. kepala mengikut berpusing mengikut arah mana mata menoleh, mencari. Terlihat patung Mercury warna kelabu dull itu. Di kaki kanan patung tersebut jelas terlihat objek yang dicari, maka diteliti jarum jam yang statik, kadang perlu memincingkan mata.
"Sembilan setengah?!" separuh menjerit suara serak milik tubuh setinggi lebih 175 sentimeter itu. Tetapi tiada seorang pun di Grand Central itu menoleh, melihat milik siapa. Semua sibuk, masing-masing fokus. Sibuk, di sini sentiasa sibuk. Tiada masa untuk terpacak melihat jam dan terkejut melihat muka jam itu. Belas ikhsan, tuhan, sempatkan aku, sambil kembali melangkah, kali ini lebih laju.
Setiap satu anak tangga itu dipijaknya hanya setengah saat, laju, sesekali dia melangkah 2, kemudian kembali satu, satu. Orang yang ramai di situ berasak untuk naik, petanda buruk yang terakhir; mereka semakin sedikit! Biarpun perlu cepat, kalau terjatuh akan melambatkan lagi aku. Tenangkan hati kalau tak.. ah peduli! Aku dah lamb--
Buk! Ada siku menghentak bahu dia, perlahan tetapi cukup untuk membuatkan dia hilang keseimbangan, lalu tergolek menghempas batu bata platform di bawah. Well at least aku dah sampai bawah.. Dia menepuk nepuk lengan baju sewaktu dia perasan dokumen di dalam bag bimbit itu sudah terburai di lantai. Terbang sehelai dua, dia cuba menangkap, terlepas, sehelai lagi dari lantai cuba terbang, dia cuba mengapai, gagal.
Akhirnya dia berputus asa. Dilihat sehelai demi sehelai melayang layang, ibarat mengucapkan selamat, dia cuma mampu melihat.
"Umm, ini awak punya?" Perlahan dia menoleh, ke belakang, eh?
"Ah, ye, terima kasih, tuhan ini sungguh memalukan" Secara entah sengaja atau tidak dia meluncurkan ayat itu pabila dia terpandang susuk seorang wanita pertengahan 20 sedang memeluk kertas kertas di dada.
"Tak apa, tak apa.." Seraya meletak di atas lantai.
Lelaki itu cuma melihat, tiba-tiba dalam hati dia terdetik. Eh, nanti!
Grooooo! Laju keretapi meluncur mengikut landasan. Semua kertas yang dikumpul perempuan itu berselerakkan, terbang, dan satu mengena muka lelaki itu, dan kekal disitu, ditolak angin. Kelat muka si perempuan, perlahan tarik kertas di muka lelaki itu. Tak percaya seolah olah terpampang di muka lelaki itu, mengeruhkan lagi hati si perempuan.
"Maaf saya cuma --"
"Tak apa, tak apa.. semua tu tak penting dah.. "
"Kertas apa tu?"
"Tak penting.. tak penting.. awak okay?" Si lelaki cuba mengalih topik. Faham, si perempuan cuma mengangguk setuju.
"Awak tak naik atas lagi?" Si lelaki akhirnya bangun sambil menepuk-nepuk seluar slack.
"Oh tak.. saya memang selalu sengaja tak naik atas, cuma tak mahu bersesak, rimas" Perempuan itu tertunduk.
"Awak pula? Hendak ke mana?" Sambungnya.
"Oh.. saya tak tahu.." Sambil pandangannya di campak jauh ke landasan keretapi itu, melirik saki baki helaian kertas yang terbang. Si perempuan yang perasan, hanya mengengam erat kertas itu, lalu cuba sembunyikan didalam kocek blouse biru yang dikenakan itu.
Dan mulut mereka terkunci, ingin berkata-kata, cuma perkataan menjadi penghalang, lalu membiarkan hanya mata berbual. Si perempuan terpaksa mengangkat dagunya sedikit mendongak untuk melihat si lelaki, si lelaki pula cuba melonggarkan tali lehernya.
"Oh pipi awak--" Serentak tangan si perempuan mencapai kain dari kocek kiri dan mengelap kotoran di muka si lelaki, niat nya. Bila tangan dia mendekati muka, cuma seperti magnet, tidak bergerak, bersihkan apatah lagi.
Lalu dia terkejut pabila tangan lelaki itu memegang tangan dia, terlepas. Sapu tangan itu sempat ditangkap si lelaki, dan apabila dia toleh mukanya, ingin dipulangkan kembali, si perempuan sudah berlari menaiki tangga. Dari jauh dia melihat, kaget, tapi tenang. Perlahan dia melipat sapu tangan itu, lalu disimpan dalam kocek.
Hati si perempuan masih berdebar-debar.
-----
Keretapi dari Michigan Central Station itu bertolak, awal jam 6 pagi. Si perempuan masih leka menghadap luar tingkap, sambil angin lagu menolak kasar rambut kuning perang ikal panjang. Dia hanya termenung, kadang-kadang teringat kembali kisah lama di Grand Central Station. Sudah dua bulan, tetapi setiap kali aku teringat, pasti dada aku akan terombak-ombak. Tuhan, apa sudah jadi dengan aku? Banggunan tinggi yang kusam silih menggantikan panorama di mata si perempuan, yang kini hanya tersengih seorang diri, melayan pita rakaman minda, pita suara hati.
Dia melangkah keluar sebagai antara orang-orang terakhir tiba sahaja keretapi itu, dia mengeluh. Tidak mahu meletak harapan tinggi, tetapi hati dia sudah berbunga-bunga. Tak mungkin terjadi, dua bulan sejak hari itu. Dia tunduk, lalu membiarkan manusia manusia yang seolah tidak berhati terus berasak, ibarat seangkatan semut terjumpa sebutir gula. Dan dia bersandar di tiang bumbung Grand Central Station itu.
Lama dia tertunduk disitu, kurang sedikit dari 10 minit. Leka mengelamun.
"Tak mahu naik ke atas lagi kah?" Terdengar satu suara, memecah lamunan. Dia mencari, kiri, kanan. Mustahil! Tak ada orang. Ah otak aku bermain dengan aku rupanya.
"Mari, saya berhutang awak secawan kopi." Suara itu bermain lagi. Kali ni dia pasti, ini asli.
Lalu dia mencari lagi sekali, cuma kali ni, dia menoleh ke belakang tiang tempat dia bersandar sebentar tadi. Dia tersenyum, lelaki itu pun tersenyum. Bagaimana?
"Awak mesti tertanya tanya bagaiman saya tahu awak akan ada disini, bukan?" Seolah psikik, membaca minda.
"Senang," Terang si lelaki tanpa diminta.
"Saya tak tahu." Eh?
"Saya tak tahu, tapi saya tak perlu tahu. Saya cuma perlu tunggu awak disini, kerana awak akan datang lagi"
Si perempuan tergamam. Jadi, awak tunggu saya setiap hari hampir dua bulan? Merepek, kenapa awak perlu buat begitu? Serentak dia memeluk lelaki itu, dan peluknya, di balas, erat.
"Nama saya Williams. Awak?"
"Saya Lily. Gembira berkenalan"